Ahad, 27 Disember 2009
SERDANG: Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam khususnya teksi sekitar stesen komuter Serdang di sini, boleh menarik nafas lega kerana mereka tidak lagi perlu berhadapan dengan pemandu ‘cekik darah’ yang tidak menggunakan meter kerana kini disediakan kemudahan teksi berkupon.
Sistem kupon yang mula diperkenalkan sejak September tahun lalu itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pengguna kerana ia bukan saja menggunakan harga tetap, malah turut menjamin keselamatan mereka yang menaiki kenderaan awam berkenaan.
Tinjauan di stesen komuter Serdang mendapati kebanyakan pengguna tidak perlu menunggu lama ataupun berebut-berebut ketika menaiki teksi kerana kupon yang digunakan sudah mengasingkan mereka antara satu sama lain, begitu juga teksi yang akan dinaiki.
Penyelia teksi berkupon Stesen KTM Serdang, Abdul Razak Mohd Yusof, berkata perkhidmatan teksi yang ada sekarang lebih teratur dengan adanya penggunaan kupon tambang berkenaan.
Malah, katanya, hanya teksi yang mempunyai pelekat saja dibenarkan mengambil penumpang di sini dan dianggarkan kawasan ini memiliki 60 teksi untuk kegunaan orang ramai.
| |
Menurutnya, penumpang tidak perlu lagi bimbang untuk berasak-asak sesama sendiri ketika menunggu teksi kerana sistem kupon ini menggunakan sistem bersepadu yang mendahulukan pengguna paling awal datang.
“Malah, pengguna juga boleh mengemukakan aduan kepada pihaknya sekiranya pemandu terbabit melakukan sebarang salah laku kepada mereka kerana melaluinya, pihak berkenaan boleh menjejaki pemandu teksi berkenaan.
“Kupon terbabit memiliki nombor siri tertentu yang dihubungkan terus kepada pemandu teksi digunakan untuk membawa penumpang berkenaan ke destinasi mereka,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, pengguna, Abu Kasim Abu Samah, 54, berkata dengan penguatkuasaan penggunaan kupon ini, sekurang-kurangnya mereka mengetahui harga tetap yang diperlukan untuk ke destinasi, bukan seperti sebelum ini.
Nurul Jasika Mohd Halim, 19, pula berkata, keselamatan penumpang juga terjamin kerana setiap kupon tertera nombor aduan sekiranya mengalami masalah.
No comments:
Post a Comment